Menerusi ruangan pojok Awang Selamat, akhbar milik Umno itu menyenaraikan mereka sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Duta Amerika Syarikat Datuk Awang Adek Hussin dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Selain itu kata Awang, 3 timbalan Zeti juga berpotensi dilantik sebagai Gabenor Bank Negara.
"Awang lihat ketiga-tiga tokoh berkenaan berkebolehan dan berwibawa menyandang jawatan tersebut.
"Selain itu, 3 timbalan Zeti di Bank Negara turut dalam senarai pilihan," tulis Awang dipetik dalam akhbar edisi mingguan itu, hari ini.
Katanya, pelantikan tersebut haruslah diputuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, siapa yang difikirkan sesuai dan dilihat terbaik.
Awang berkata, pelantikan Zeti sebagai gabenor Bank Negara sebelum ini juga dulu dibuat kerajaan.
"Awang tidak melihat perubahan jawatan gabenor Bank Negara akan menjejaskan apa-apa.
"Banyak perkembangan positif kepada ekonomi negara, antaranya pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 4.5% bagi suku keempat 2014," katanya.
Sebelum ini Zeti yang bakal bersara pada April ini berkata gabenor baharu seharusnya bebas daripada sebarang agenda politik, demi kestabilan kewangan dan ekonomi.
Awang berkata, pencapaian Malaysia selama ini mengatasi ramalan ramai penganalisis termasuk Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa.
"Zeti sudah melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang, kini tiba pula gelaran tokoh lain, hakikatnya tiada siapa yang 'indispensable'," katanya. – 21 Februari, 2016.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan