TANAH RIZAB MELAYU SEMAKIN CIPUT DAN PUPUS. KINI TINGGAL 12 PERATUS DARI TANAH NEGARA. MEMANG BAGUS.
Saya bengang dan sedih hari ini.
Angka terkini menunjukkan tanah rizab Melayu semakin mengecil. Walaupun penduduk Melayu Bumiputra adalah 65% dari semua rakyat Malaysia, tanah rizab melayu kini terus berkurangan dari 50% kepada 12% sahaja dari keseluruhan tanah di Semenanjung.
Saya menjunjung setinggi-tinggi terima kasih kepada YAM Tuanku Sultan Selangor yang mencelikkan isu ini dan memberi saranan supaya tanah rizab Melayu dipertahankan.
Wasiat raja-raja Melayu tahun 1957 menetapkan minima 50 peratus tanah di negara ini perlu diperuntukkan kepada Tanah Rizab Melayu. Hakikatnya setelah 59 tahun merdeka, kita tidak menghormati wasiat raja-raja Melayu malah Tanah Rizab Melayu terus mengecil kepada 12 peratus. Kini yang tinggal hanyalah 1.7 juta hektar walaupun asalnya lebih dari 3 juta hektar (angkaberitasemasa.com.my). Bermakna tanah rezab Melayu yang ditinggal oleh penjajah telah susut pada kadar 2% setahun.
Contoh ketara adalah di Pulau Pinang, walaupun mempunyai 25 kampung melayu, tiada tanah rizab Melayu diwartakan di negeri ini sedangkan Pulau Pinang adalah negeri ketiga terpantas dari segi pertumbuhan ekonomi.
Selain itu di Selangor, negeri paling maju di Malaysia, hampir 10 ribu hektar tanah Rezab Melayu telah ditukar status kepada bukan rizab Melayu atas pelbagai nama projek. Kita masih tidak pasti samaada ada berlaku penggantian terhadap tanah-tanah ini. Yang paling menyedihkan, banyak cerita penduduk memohon sejak 20 tahun untuk mendapatkan tanah rizab di pelbagai lokasi tetapi gagal dan ada yang diberi kepada syarikat bukan bumiputera.
Yang paling menyedihkan pastinya di Kuala Lumpur, ibu kota yang kita sayangi. Saya dimaklumkan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur hanya tinggal 5% (kebanyakannya di kampung Baru) dan selebihnya 95% telah dijual kepada bukan melayu selepas ditukar status komersial.
Pelik, bagaimana tanah rizab Melayu semakin mengecil sedangkan kuasa negara di tampuk orang Melayu ?
Jujur, teori saya, mungkin kita menyaksikan terlampau banyak Pindaan Kanun Tanah Negara yang memberi peluang kepada kerajaan negeri dan syarikat tertentu mengambil tanah rizab dengan alasan untuk pembangunan tanpa ada penggantian yang jelas. Kerajaan mungkin dibenarkan menjual kepada sesiapa saja termasuk warga asing atas keperluan projek dan rakyat tidak berhak mendakwa kerajaan di mana-mana mahkamah.
Kalau teori saya betul, agak-agak berapa pula yang akan tinggal tanah rizab Melayu 5 tahun akan datang?
Kita tidak menolak pembangunan tetapi apa nilai kemajuan jika tanah tergadai. Kita tidak mahu sejarah berdarah Palestin berulang selepas penguasaan warga asing melalui pemilikan tanah.
Kita tidak mahu melihat tanah Melayu terus dilupakan sejarah seperti Kampung Gelam di Singapura dan Kampung Guar Satun Narathiwat di Thailand.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan